Monday, October 31, 2011

ISU MAKYAH DI MALAYSIA

1.0 PENGENALAN

Fenomena lelaki lembut dikalangan belia merupakan fenomena yang bukan asing lagi bagi kita. Fenomena ini telah dikesan dalam ketamadunan di seluruh dunia dan ia bukan unik kepada negara-negara tertentu, termasuk negara Malaysia sendiri (Yusman et.al, 2004). Fenomena lelaki lembut atau dikenali sebagai mak nyah mula mendapat perhatian apabila golongan ini selalu dikaitkan dengan meningkatnya masalah sosial remaja dan golongan belia khususnya. Selain dikaitkan dengan masalah pelacuran, golongan ini juga sering menjadi cemuhan masyarakat kerana cara berpakaian, pergaulan, dan gaya hidupnya yang berbeza. Sebelum meneliti dengan lebih lanjut mengenai fenomena lelaki lembut ini, adalah lebih baik kita mengetahui dahulu maksud lelaki lembut.

Secara umumnya, lelaki lembut adalah lelaki yang memiliki perasaan, jiwa, dan perlakuan seperti wanita. Adakah mereka meniru sifat seorang wanita? Sebenarnya sifat seperti itu memang tumbuh secara semula jadi dalam diri dan jiwa mereka tanpa diminta. Mereka dilahirkan sebagai seorang lelaki yang memiliki sifat kewanitaan yang sangat tinggi. Namun begitu, lelaki lembut tetap sebagai lelaki berdasarkan jantina yang mereka miliki. Hanya mereka lahir dipengaruhi oleh sifat kewanitaan. Sifat kewanitaan yang timbul semula jadi dalam tubuh lelaki ini dapat dianggap sebagai satu ‘kecacatan psikologi’. Fenomena ini perlu diberi perhatian serius dan masyarakat tidak harus membiarkan golongan ini terus hanyut, leka dan alpa dalam pentas kehidupan yang mereka ciptakan sendiri.

Komuniti transeksual terbahagi kepada dua kelompok iaitu pertama, lelaki yang trans (cross) kepada wanita (male to female) atau dikenali sebagai pondan, bapuk, darai, nyah, girlie, doll dan sissy. Yang kedua, ialah wanita yang trans kepada lelaki (female to male) seperti tomboy, butch (di Malaysia, ia dikenali sebagai pengkid) dan transman (transeksual wanita selepas menjalani pembedahan genital). Lelaki transeksual merupakan lelaki yang beralih sifat atau bentuk lelaki dan kelelakiannya (maleness) kepada sifat atau bentuk wanita dan kewanitaan (femaleness). Sebaliknya, wanita transeksual pula ialah songsangan daripada lelaki transeksual tersebut di mana penonjolan imej lelaki lebih terserlah pada diri wanitanya yang selari dengan kehilangan sifat kewanitaan kepada kelelakian (Lukman, 2002).

Dari segi istilah psikologi, terma transeksual digunakan secara lebih spesifik untuk merujuk kepada individu yang sedang atau telah menjalani hidup sebagai jantina berlawanan jenis dan mungkin telah menjalani pembedahan pertukaran alat kelamin. Menurut Gooren (dalam Roseliza Murni, 2002), transeksual merujuk kepada satu keadaan di mana individu yang mempunyai perbezaan somatik seksual yang kelihatan normal mempunyai keyakinan bahawa beliau sebenarnya adalah dari kalangan jantina yang berlawanan jenis. Keyakinan dan kepercayaan ini pula disertai dengan perasaan kebencian yang mendalam dan keterlaluan terhadap ciri-ciri seksual primer dan sekunder yang dimilikinya. Jelasnya, berlaku ketidakpuasan dari segi psikologikal terhadap jantina biologikal dirinya dan timbul keinginan untuk menjalani kehidupan sebagai jantina berlawanan jenis (Roseliza Murni, 2002).

Fenomena lelaki lembut di Malaysia dianggap sebagai gejala kecelaruan jantina atau krisis identiti di mana individu berkenaan mempunyai tingkah laku yang bercanggah dan bertentangan dengan tatacara kehidupan normal seseorang. Keadaan ini menyebabkan masyarakat tidak dapat menerima golongan transeksual ini malah menjadi bahan cemuhan segelintir masyarakat kerana mereka dianggap telah menyimpang dari norma-norma masyarakat. Organisasi bukan kerajaan iaitu IKHLAS (Pink Triangle) menganggarkan pada tahun 1998 bahawa terdapat kira-kira 10,000 orang Mak Nyah di Malaysia, di mana 70–80% daripada jumlah tersebut ialah orang Melayu (Wan Azmi, 1998).

2.0 MASALAH YANG MENYEBABKAN IA BERISIKO

2.1 Pelacuran

Mohd. Tajudin (2001), menyatakan bahawa golongan minoriti ini seolah-olah telah dibiarkan terumbang-ambing untuk menentukan hala tuju hidup mereka dalam masyarakat. Lebih malang lagi apabila mereka dibiarkan untuk menyelesaikan masalah yang dialami secara bersendirian tanpa sokongan daripada masyarakat. Kewujudan kumpulan minoriti ini semakin menyerlah dan membesar dalam masyarakat kita pada hari ini. Ini telah dibuktikan melalui laporan media massa dan juga kajian ilmiah yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji masyarakat berkaitan dengan kecelaruan gender. Sekiranya isu ini tidak dilihat secara terperinci, adalah dikhuatiri yang ianya akan merebak menjadi masalah sosial yang lebih serius. Akibatnya, akan wujud kesan buruk terhadap masyarakat dari pelbagai aspek seperti aspek moral, sosial, kesihatan, keagamaan, perundangan dan ekonomi (Wan Azmi, 1998).

Kajian oleh Yik (1998), telah mendapati bahawa terdapat seramai 10 000 mak nyah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 70%-80% adalah Melayu dan selebihnya adalah dari etnik Cina, India dan lain-lain etnik minoriti. Hasil kajian Yik (2001) pula mendapati golongan mak nyah ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan diskriminasi terhadap seksualiti mereka. Secara umumnya lebih kurang 65% mak nyah di Malaysia bekerja sebagai pelacur, 25% bekerja sebagai penghibur kelab-kelab, salon kecantikan dan rambut serta butik, 2% adalah peniaga warung makanan dan 8% bekerja dengan syarikat swasta. Perolehan data ini membuktikan kepada kita bahawa fenomena ini tidak harus dipandang remeh dan diabaikan begitu sahaja oleh masyarakat (Wan Azmi, 1998).

Menurut Lukman dan Zuriana (2002), masyarakat pada abad ke-21 tidak lagi boleh memandang remeh persoalan pelacuran kerana kesan perebakan aktiviti pelacuran bukan sahaja memberi impak yang besar terhadap bidang pelacuran itu sendiri tetapi juga masyarakat di sekelilingnya. Perlakuan transeksual boleh dikatakan satu laluan mudah untuk lelaki nyah menceburi bidang pelacuran. Hasil kajian membuktikan aktiviti nyah akan berakhir di lembah pelacuran sekiranya mereka gagal memperoleh pekerjaan untuk menampung kos hidup meskipun mereka memiliki segulung ijazah. Malah, bagi mereka yang tidak mempunyai pendidikan yang baik pula, cabaran yang dihadapi adalah lebih besar. Perbelanjaan yang tinggi diperlukan untuk memenuhi segala kehendak dan keinginan lelaki nyah.

Selain barangan asas seperti pakaian dan alat solek, mereka juga memerlukan perubatan dan rawatan hormon pada bahagian badan tertentu untuk menyerlahkan sifat-sifat kewanitaannya. Kos perubatan dan rawatan tersebut akan menjadi lebih tinggi sekiranya mereka tiada pekerjaan, bekerja tidak berdasarkan kelulusan akademik sebenar atau berkelulusan akademik rendah yang melayakkan mereka bekerja sebagai pekerja bawahan. Sehubungan itu, mereka ini akan memasuki lembah pelacuran bagi memenuhi tuntutan fantasi kerana pelacuran adalah tempat yang paling mudah untuk mencari wang (Lukman, 2002).

2.2 Penyakit Kelamin

Di Malaysia, kes penyakit kelamin bertambah dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi di kalangan remaja dan belia yang berumur antara 16 hingga 24 tahun. Golongan minoriti atau mak nyah ini sebenarnya terdedah kepada penyakit kelamin yang membahayakan diri mereka sendiri (Rahana, 2002). Isu penyakit kelamin ini sebenarnya berpunca daripada aktiviti pelacuran yang dilakukan oleh golongan pelacur dan mak nyah.

Menurut Rahana (2002), penyakit kelamin ini disebarkan oleh hubungan seks di antara pasangan yang telah dijangkiti kuman, seperti chlamydia, sifilis, dan gonorrhoea. Ia juga boleh dijangkiti semasa hubungan seks melalui faraj, dubur atau oral (mulut). Kebanyakkan golongan minoriti ini telah melakukan pembedahan dengan menggantikan alat kelamin mereka bagi tujuan pelacuran. Oleh itu, peluang dijangkiti oleh penyakit ini adalah sangat tinggi dan lebih malang lagi penyakit kelamin ini boleh membawa maut jika tidak dirawat.

Terdapat tanda-tanda dan gejala-gejala yang timbul apabila seseorang itu dijangkiti penyakit kelamin ini. Tetapi ia juga bergantung kepada jenis dan peringkat jangkitan tersebut. Kadang-kala, pesakit tidak mempunyai sebarang tanda-tanda atau gejala dan ia dikenali sebagai asymptomatic infection (Rahana, 2002). Antara tanda atau gejalanya adalah seperti terdapat lelehan daripada kemaluan, sakit semasa kencing, luka atau ulser dibahagian kemaluan, ketumbuhan di bahagian kemaluan, bengkak kelenjar limfa di bahagian pangkal peha, dan ruam di bahagian kemaluan dan anggota badan. Sekiranya tidak dirawat dengan lebih awal, jangkitan kuman akan merebak ke organ lain menyebabkan komplikasi ke bahagian testis, visekel semen, dan kelenjar prostat lalu menyebabkan kesakitan dan kemandulan (Rahana, 2002).

Merujuk kepada kelompok minoriti ini, peluang untuk dijangkiti oleh penyakit kelamin ini sangat tinggi kerana disebabkan tabiat mereka yang suka menjalinkan hubungan rambang atau mengamalkan aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti aktiviti pelacuran. Menurut Rahana (2002), walaupun penyakit kelamin ini boleh dirawat, akan tetapi penghidap penyakit ini akan menanggung kesakitan yang amat sangat pada awal seseorang itu dijangkiti. Oleh yang demikian, golongan nyah ini perlu lebih memahami peluang impak yang akan diterima kepada diri mereka apabila mereka menceburi arena pelacuran yang sungguh hina di kaca mata masyarakat sekeliling.

2.3 Dipandang Serong Oleh Masyarakat

Kebiasaanya, kelompok minoriti ini mengenakan pakaian yang berbeza dengan jantina asalnya. Pengaulan dan cara hidup sehariannya juga sangat berbeza berbanding orang lain menyebabkan golongan mereka ini dipandang serong oleh setiap lapisan masyarakat. Masyarakat sekeliling beranggapan bahawa kelompok mak nyah ini telah jauh menyimpang dan tersasar daripada fitrah semulajadi manusia.

Walaupun tidak semua golongan ini terjebak di dalam aktiviti pelacuran, tetapi hasil kajian telah membuktikan bahawa kelompok ini mempunyai peratusan tertinggi di dalam aktiviti pelacuran berbanding dengan aktiviti-aktiviti lain (Rahana, 2002). Cemuhan dan kutukan oleh segelintir masyarakat terhadap golongan ini adalah disebabkan mereka beranggapan mereka bebas untuk melakukan segala perkara yang diingini tanpa memperdulikan kesan jangka panjang yang akan timbul apabila golongan ini memonopoli golongan belia khususnya pada masa akan datang.

Biasanya, kelompok minoriti ini sukar untuk bekerja di dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta kerana golongan ini telah dipandang serong oleh semua lapisan masyarakat. Isu seperti ini timbul adalah disebabkan kerana golongan mak nyah ini sering kali dikaitkan dengan aktiviti pelacuran (Rahana, 2002). Selain itu, masyarakat juga beranggapan bahawa kelompok mak nyah ini tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh malah merosakkan imej bangsa dan agama mereka sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa masyarakat sekeliling memandang serong kepada kelompok minoriti di dalam negara kita ini.

3.0 TEORI-TEORI PSIKOLOGI YANG DIKAITKAN

3.1 Teori Psikodinamik

Dalam teori ini, ia banyak menekankan kepada kepentingan motif, emosi, dan gerak kuasa dalaman yang lain. Ia juga mengandaikan bahawa personaliti terbentuk akibat konflik psikologikal yang tidak dapat diselesaikan, khususnya semasa zaman kanak-kanak (Ma’rof & Haslinda, 2004). Tegasnya, teori ini melihat tingkah laku sebagai hasil akhir daripada dinamik psikologikal yang berinteraksi dalam diri individu dan ia juga dikatakan sebagai sesuatu yang berada diluar kesedaran individu. Psikodimanik ini juga sebenarnya adalah kajian ke atas tenaga psikik dan bagaimana ia membentuk dan dapat meluahkan tingkah laku.

Menurut Freud (1856) (dalam Ma’rof & Haslinda, 2004), beliau ada menekankan berkenaan naluri yang wujud di dalam diri seseorang secara semula jadi. Naluri untuk hidup atau eros, seperti seksual, lapar, dan dahaga membantu manusia untuk terus hidup. Freud sebenarnya lebih menekankan kepada naluri seksual, yang dilihatnya sebagai lebih meluas, termasuk dorongan tubuh badan yang menyeronokkan seperti membuang air besar dan menghisap. Menurut beliau, naluri hidup beroperasi dengan menghasilkan tenaga yang dipanggil libido. Tenaga libido adalah sama dengan tenaga fizikal, tetapi ia menyediakan tenaga yang diperlukan untuk berfikir dan bertingkah laku.

Menurut Ma’rof & Haslinda (2004), tenaga ini juga merupakan tenaga psikik yang menggerakkan keseluruhan personaliti. Sekiranya naluri hidup tidak dapat dipuaskan atau berlaku konflik ke atasnya, libido akan bertambah bertimbun dan menghasilkan tekanan, ia boleh digambarkan sebagai wap yang tidak dapat di lepaskan. Untuk seseorang itu berfungsi secara normal, tekanan ini perlu dikurangkan, sekiranya tidak, libido akan meletup dan menghasilkan tingkah laku bilazim (Ma’rof & Haslinda, 2004). Persoalannya, apakah perkaitan teori ini menyebabkan seseorang individu itu mengalami kecelaruan personaliti atau juga dikenali sebagai mak nyah. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, Freud menamakan tenaga yang dihasilkan oleh naluri seksual ini sebagai libido dan dalam perkembangan bayi menjadi matang, libidonya terfokus kepada bahagian-bahagian sensitif badan yang berbeza-beza.

Semasa berumur 18 bulan pertama, sumber utama kenikmatan deria ialah mulut. Lebih kurang selepas berumur 18 bulan pertama, sumber utama kenikmatan deria berpindah kepada dubur, dan lebih kurang semasa berumur 3 tahun, ia berpindah lagi kepada alat kelamin (Ma’rof & Haslinda, 2004). Pada peringkat ini ia dinamakan peringkat falik dan semasa peringkat ini, kanak-kanak menyedari bahawa mereka boleh memperolehi kenikmatan daripada penyentuhan alat kelamin mereka. Mereka juga menyedari perbezaan biologikal di antara lelaki dan perempuan. Seterusnya, mereka mula tertarik secara seksual terhadap ibu bapa yang berlainan jantina dengan mereka.

Daripada tarikan seksual tersebut, ia telah membawa kepada konflik bawah sedar yang hebat yang dikenali sebagai kompleks oedipus dan kompleks elektra (Ma’rof & Haslinda, 2004). Kompleks oedipus adalah berkaitan dengan keadaan di mana kanak-kanak lelaki secara bawah sedar menumpukan keinginan seksual terhadap ibunya dan membentuk sifat permusuhan terhadap bapanya. Oleh kerana keinginan ini tidak diterima oleh sosial, maka ianya tersimpan dalam bahagian bawah sedar. Berbeza pula dengan kompleks elektra di mana ia berkaitan dengan keadaan kanak-kanak perempuan secara bawah sedar tertarik secara seksual terhadap bapanya. Menurut Freud (1856) (dalam Ma’rof & Haslinda, 2004), kompleks ini bermula dengan kanak-kanak perempuan mendapati mereka tidak mempunyai kemaluan lelaki (zakar), dan secara tidak sedar mereka menyimpulkan bahawa mereka di kembiri dan menyalahkan ibu mereka. Secara tidak sedar juga, kanak-kanak perempuan mempunyai perasaan iri zakar. Akibatnya mereka mengalihkan cinta dan seksual terhadap bapa mereka.

Kegagalan untuk menyelesaikan masalah ini boleh menimbulkan kesan yang serius kepada anak lelaki mahu pun perempuan (Ma’rof & Haslinda, 2004). Freud berpendapat rasa bersalah dan kebimbangan ini boleh dibawa sehingga dewasa dan menyebabkan masalah seksual, bermasalah dengan mereka yang berlainan jantina, dan malahan masalah homoseksualiti. Oleh yang demikian, menurut teori ini, individu atau golongan mak nyah ini terjadi disebabkan oleh berlaku lekatan pada tahap falik semasa zaman kanak-kanak mereka lagi.

3.2 Teori Pembelajaran Pemerhatian

Albert Bandura (1963) (dalam Ma’rof & Haslinda, 2004), merupakan salah seorang ahli psikologi yang berpengaruh dalam mendokong pandangan kognitif dalam pembelajaran. Beliau menekankan bahawa manusia bukan sahaja belajar melalui pelaziman klasik dan pelaziman operan tetapi juga dengan cara pemerhatian tingkah laku orang lain. Pembelajaran pemerhatian kadang kala dikenali sebagai pemodelan, terhasil apabila manusia memerhatikan tingkah laku orang lain dan mencatatkan konsekuen tingkah laku tersebut (Ma’rof & Haslinda, 2004).

Kebanyakan pola percakapan, gaya pakaian, cara memelihara anak, perasaan takut, tingkah laku langsang dan pelbagai pola tingkah laku lain dipelajari oleh kita melalui pemodelan. Manusia yang menunjukkan tingkah laku dan ditiru tingkah lakunya dipanggil model (Ma’rof & Haslinda, 2004). Ibu bapa, pelakon filem, ahli sukan, guru dan seumpamanya boleh menjadi model yang menjadi ikutan. Hal ini menjelaskan kepada kita mengapa tingkah laku berbeza-beza mengikut masyarakat dan budaya.

Untuk menjelaskan bagaimana pembelajaran berlaku, Bandura (1963) (dalam (Ma’rof & Haslinda, 2004), mencadangkan bahawa empat proses mental perlu beroperasi. Pertama adalah proses tumpuan di mana pemerhati mestilah memberikan tumpuan kepada apa yang dikata atau dilakukan oleh model. Contohnya, pemerhati mestilah melihat reaksi model terhadap apa yang model lakukan. Seterusnya, proses yang kedua adalah ingatan di mana pemerhati mestilah mengekod maklumat dalam cara yang ia boleh mengingat kembali dan mnggunakan maklumat tersebut pada masa akan datang. Contohnya, pemerhati mestilah dapat mengingat kembali apa reaksi model terhadap tingkah laku model tersebut.

Kawalan motor pula merupakan proses ke empat daripada lima proses mental yang dicadangkan oleh Bandura (1963) (dalam Ma’rof & Haslinda, 2004). Dalam proses ini, pemerhati mestilah berupaya untuk menggunakan maklumat yang dikodkan (diingatkan) untuk memandu tindakannya dan dengan ini meniru tingkah laku modelnya. Pemerhati juga mestilah dapat membentuk kawalan motor yang cukup untuk meniru. Manakala, proses yang ke lima adalah motivasi iaitu pemerhati mestilah mempunyai sebab, peneguhan, atau insentif untuk melakukan tingkah laku yang dilakukan oleh model. Tanpa dorongan dan motivasi, peniruan mungkin tidak akan berlaku.

Albert Bandura (1963) mengangap pemodelan merupakan demonstrasi yang penting tentang peranan kognitif dalam pembelajaran (Ma’rof & Haslinda, 2004). Persoalannya, bagaimana golongan minoriti atau kelompok mak nyah ini wujud berdasarkan perkaitan teori pemerhatian ini. Sebenarnya, seseorang individu lelaki lembut atau mak nyah ini terjadi adalah disebabkan oleh teori pembelajaran pemerhatian kepada kawan-kawan misalnya yang berada di dalam persekitaran di sekelilingnya. Bermula dengan melihat kawan-kawan, maka ingatan mula terbentuk untuk seseorang individu itu meniru seterusnya bertindak untuk mencuba bertingkah laku seperti lelaki lembut atau mak nyah. Peneguhan positif yang diberikan oleh kawan-kawan yang berada disekelilingnya menjadi motivasi kepada individu itu untuk terus kekal di dalam golongan minoriti atau golongan mak nyah ini.

4.0 PROGRAM INTERVENSI YANG SESUAI

4.1 Memberi Khidmat Kaunseling

Perkhidmatan kaunseling dalam kehidupan masyarakat Malaysia semakin meluas pada masa kini. Hal ini kerana masyarakat kita telah mula sedar akan keupayaan perkhidmatan ini. Kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "counseling" yang boleh difahami oleh semua orang, tetapi mereka mungkin memahaminya dalam pergertian yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam aktiviti kaunseling baik secara langsung atau tidak langsung, terutamanya ibu bapa, guru, pemimpin agama, peguam, doktor, jururawat dan juga semua yang terlibat dengan proses mendidik dan kebajikan masyarakat (Mansur Abdullah, 1996).

Kaunseling bukanlah perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti rundingcara sesama mereka. Kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia. Apa yang ketara kaunseling merupakan alat asas bagi kebanyakan profesional. Secara amnya dapat dikatakan bahawa konsep kaunseling diamalkan di dalam bidang pendidikan, perubatan, agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan keluarga. Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah (Mansur Abdullah & Nordinar Tamin, 2003). Ia tumbuh dan berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah manusia serta teori-teori pembelajaran.

Dalam membendung isu berkaitan dengan golongan mak nyah ini, perkhidmatan kaunseling merupakan antara program intervensi yang dilaksanakan oleh kaunselor yang profesional bagi membantu seseorang individu berubah daripada segi pemikiran, emosi, dan tingkah laku (Mansur Abdullah, 1996). Kelompok minoriti ini akan diberi kaunseling kerana ia adalah satu proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya.

Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan individu yang mengakibatkan berlaku perubahan pada diri mereka (Mansur Abdullah & Nordinar Tamin, 2003). Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong individu itu menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong individu itu memahami dirinya yang sebenar, apa kelebihan dan kekurangannya, apa yang boleh dilakukan dengan mudah, apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung dalam kehidupan seharian. Perubahan pada individu seseorang mak nyah ini bergantung kepada kemahuannya sendiri untuk berubah kerana kaunselor hanya membantu mencari jalan supaya seseorang individu itu berubah.

Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang individu diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya (Mansur Abdullah, 1996). Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang ada padanya. Proses ini akan dapat menolong individu itu mengesan halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan lebih sempurna.

Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan dan salah satu program intervensi kepada golongan minoriti ini. Melalui proses ini, individu itu dibimbing untuk membuat keputusan sendiri dalam hidupnya. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara kaunselor dengan individu itu sendiri atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan individu itu.

4.2 Seminar Dan Ceramah

Seminar dan ceramah berkaitan tingkah laku transeksual oleh golongan mak nyah juga merupakan antara program intervensi yang dapat dijalankan. Seminar dan ceramah yang dilakukan adalah tidak hanya bersifat bermusim sahaja kerana kebanyakkan program-program yang dijalankan hanya dilakukan pada masa tertentu tanpa bersifat berterusan (Wan Azmi, 1998). Kadang kala, masyarakat sekeliling hanya memandang sambil lewa sahaja mengenai kewujudan golongan minoriti ini di dalam negara kita. Akan tetapi, sebenarnya isu ini sudah lama diperbincangkan dan dikaji perkembangan dan jumlah peningkatan golongan mak nyah ini.

Seminar mengenai isu ini perlu dijalankan di setiap negeri dan di tempat-tempat yang mempunyai jumlah golongan mak nyah yang tertinggi. Biasanya, golongan ini mempunyai jumlah yang ramai di kawasan bandar-bandar besar dan ibu kota seperti Kuala Lumpur (Wan Azmi, 1998). Pendedahan kepada golongan remaja juga boleh dilakukan dengan mengadakan seminar dan ceramah mengenai keburukan transeksual di sekolah-sekolah di Malaysia. Dengan mengadakan pendedahan awal kepada golongan-golonga remaja di sekolah mengenai isu ini, kebarangkalian pengurangan jumlah kelompok minoriti ini adalah tinggi. Seterusnya, langkah susulan juga perlu dilakukan apabila selesai sesuatu program dijalankan agar objektif atau kesan sesuatu program yang dijalankan tercapai dengan jayanya.

4.3 Program Keagamaan Dan Kerohanian

Program keagamaan dan kerohanian merupakan salah satu program intervensi yang dijalankan bagi membendung dan mengatasi isu transeksual di negara kita ini. Lemah iman dan kurang didikan agama merupakan antara faktor seseorang individu terdorong menceburi golongan mak nyah ini (Rahana, 2002). Oleh itu, dengan adanya program-program seperti forum perdana, ceramah agama, seminar agama berkenaan golongan transeksual yang menyalahi hukum agama dan sebagainya dapat membendung serba sedikit supaya ia tidak merebak dengan lebih parah lagi.

Semuanya perlu bermula daripada peringkat awal lagi iaitu ibu bapa perlu memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka dengan menghantar ke kelas-kelas agama dan juga program-program agama yang diadakan di masjid-masjid atau pun surau. Nilai-nilai murni yang diterapkan oleh program-program agama yang dijalankan akan dapat membentuk jati diri seseorang individu itu (Wan Azmi, 1998). Kesan lain ialah seseorang individu itu akan dapat memikirkan terlebih dahulu mengenai baik buruk sesuatu tingkah laku yang akan dilakukannya.

Oleh yang demikian, program-program agama seperti ini banyak membantu seseorang individu itu untuk menempuhi kehidupan yang semakin mencabar ini. Segala input atau nilai-nilai murni yang diterapkan daripada program keagamaan dan kerohanian seperti ini, serba sedikit dapat diaplikasikan oleh seseorang individu itu agar tidak mudah terjerumus kepada golongan minoroti ini.

5.0 DAPATAN KAJIAN LEPAS

Menurut Mahani di Bahagian Perkhidmatan Psikologi JPA, kajian mendapati bahawa 98.63% mak nyah adalah lelaki tulen yang dilahirkan sebagai seorang lelaki manakala 1.37% dilahirkan sebagai khunsa. Kajian seterusnya mendapati bahawa seramai 56 orang (76.71%) daripada 73 mak nyah pernah mendapatkan suntikan hormon membesarkan buah dada dan vitamin untuk mencantikkan kulit muka. Seramai 22% daripada mak nyah di Malaysia telah menjalani pembedahan penukaran jantina dan selebihnya bersedia untuk menjalani pembedahan sekiranya diberikan peluang (Lukman & Zuriana, 2002).

Menurut Lukman & Zuriana (2002), kajian juga mendapati bahawa 65.75% daripada responden menjadikan perbuatan liwat dan beberapa perbuatan kotor yang lain untuk memuaskan nafsu mereka. Golongan mak nyah adalah golongan yang menyalahgunakan naluri keperempuanan yang dikurniakan Allah terhadap mereka sehingga menjadikan diri mereka benar-benar seperti perempuan. Golongan mak nyah ini juga adalah golongan yang mengalami masalah psikologi dan masalah mereka juga perlu diselesaikan bersama secara psikologi berlandaskan Islam (Tajudin Ninggal, 2003).

Daripada dapatan kajian lepas ini, dapat disimpulkan bahawa isu golongan mak nyah di negara semakin membimbangkan. Kajian terbaru mungkin akan berlakunya peningkatan peratusan yang mendadak kerana isu ini telah lama menular di dalam negara kita. Oleh yang demikian, daripada dapatan kajian lepas ini, ia boleh menjadi sumber rujukan dan kayu ukur kepada jumlah peratusan pada masa akan datang yang berkaitan dengan isu transeksual ini.

6.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, isu berkaitan golongan mak nyah ini perlu dibendung dan di pandang serius oleh masyarakat di Malaysia. Walaupun pelbagai penyataan negatif yang dilabelkan kepada golongan minoriti ini, pihak-pihak tertentu dan masyarakat perlu memberi sokongan tanpa menyisihkan mereka supaya golongan ini boleh berubah kepada yang lebih baik.

Program-program intervensi yang dijalankan perlulah berterusan agar isu golongon mak nyah di negara kita ini dapat dibendung supaya ia tidak menjadi sesuatu yang serius yang boleh merosakkan imej negara kita ini. Khususnya, golongan belia yang akan menjadi tonggak kepimpinan negara suatu hari nanti perlu memahami bahawa isu ini mungkin boleh mengganggu gugat kestabilan negara suatu hari nanti. Cuba kita banyangkan bahawa hampir semua belia di negara ini menjadi mak nyah pada masa akan datang, bagaimana dengan kepimpinan sesebuah negara itu misalnya apabila perdana menteri itu sendiri merupakan transeksual pada masa depan. Jelaslah bahawa isu mak nyah ini merupakan isu yang berisiko kepada golongna belia pada masa ini.

Oleh yang demikian, ke semua aspek atau faktor yang mendorong kepada seseorang individu itu terlibat dalam tingkah laku transeksual perlulah diberi perhatian yang serius. Selain itu, peranan daripada semua pihak termasuklah ibu bapa, masyarakat sekeliling dan pihak kerajaan perlu dipertingkatkan lagi agar jumlah golongan minoriti ini tidak meningkat dengan mendadak dari tahun ke tahun. Sehubungan dengan itu, berpegang kepada konsep satu Malaysia iaitu “rakyat didahulukan pencapian diutamakan” yang diperkenalkan oleh perdana menteri kita yang kelima iaitu Datuk Seri Najib Razak, maka isu golongan mak nyah ini perlu diatasi atau dibendung agar pencapian negara dapat dicapai bukan sahaja pada masa sekarang tetapi juga pada masa akan datang.


Rujukan

Lukman Z. Mohamad dan Zuriana Zahrin. (2002). “Fenomena Pelacuran Remaja di Malaysia.” dlm. Lukman et al. (ed). Keluarga, Gender dan Cabaran Sosial di Malaysia. Kuala Lumpur : Utusan Publications and Distributors.

Lukman Z. Mohamad. (2002). “Lelaki Transeksual dan Pelacuran Nyah di Malaysia: Sejauhmanakah Pertaliannya.” Kertas Kerja dibentangkan dalam Seminar Transeksualiti di Institusi Pengajian Tinggi, Century Mahkota Hotel Melaka.

Ma’rof Redzuan, Haslinda Abdullah. (2004). Psikologi Edisi Kedua. Selangor : Mc Graw Hill.

Mohd Yusman Awang, Muhd. Izhar Abu Samah dan Zamri Rambli. 2004. Laporan khas hidup sebagai mak nyah. MASSA, Februari: 25-38.

Mohd. Tajudin Ninggal. (2001). “Terapi Pengurusan Kecelaruan Gender Berasaskan DSM-IV: Suatu Diagnosis Ringkas Menggunakan Pendekatan ‘Non-Traditional’. Kertas Kerja dibentang dalam Konvensyen PERKAMA ke 10: Kaunseling Kecelaruan Gender. Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mohd. Tajudin Ninggal. (2003). “Transeksualisme & Hubungannya dengan Kecelaruan Gender dari Perspektif Psikologi.” Kertas Kerja dibentang dalam Seminar Transeksualiti. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Muhd. Mansur Abdullah dan S. Nordinar Tamin. (2003). Proses Kaunseling (edisi kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd. Mansur Abdullah. (1996). Kaunseling teori, proses dan kaedah (edisi kedua). Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Rahana Md. 2002. “Fenomena transeksualiti – perlu ditangani bersama dan kesannya.” Utusan Online, 19 Julai. http://www.yahoo.com.my.

Roseliza Murni Ab. Rahman. (2002). “Transeksualiti Dari Segi Psikologi, Sosiologi dan Fisiologi.” Kertas Kerja dibentangkan dalam Seminar Transeksualiti di Institusi Pengajian Tinggi, Century Mahkota Hotel Melaka

Wan Azmi Ramli. (1998). “Petaka Abad Ke-21.” Kuala Lumpur : Golden Books Centre Sdn.Bhd.